fb fb fb fb fb

Bilangan pensyarah Institusi Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti mencukupi

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail pada Majlis Anugerah Akademia Politeknik Dan Kolej Komuniti (AA POLYCC) Tahun 2023 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka

AYER KEROH, 24 Oktober- Jumlah tenaga pengajar di Institusi Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti adalah mencukupi bersesuaian keperluan semasa.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail, pengambilan tenaga pengajar atau pensyarah adalah sepanjang tahun mengikut keperluan ataupun standard yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian dan Agensi Kelayakan Malaysia. 

Tambahnya, pihaknya sentiasa meningkatkan kemahiran dan kepakaran pensyarah dalam penambahbaikan dengan melakukan pelaksanaan latihan semula untuk meningkatkan kemahiran mereka terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Katanya, ia termasuklah menghantar mereka melanjutkan pengajian atau mengikuti latihan serta kursus bagi meningkatkan kemahiran dan melaksanakan latihan semula bagi memastikan mereka mampu mengajar mengikut keperluan dan kehendak industri semasa. 

“Kita telah pun mempunyai satu kaedah di mana kita mewajibkan pensyarah untuk berada dalam industri sekurang kurangnya tiga bulan dalam sesuatu tempoh yang tertentu, sudah tentu ilmu pengalaman di industri itu dibawa balik untuk mereka mengajar kepada pelajar-pelajar.

"Di samping itu pensyarah-pensyarah ini juga ada kursus kursus melibatkan bahagian latihan dan sebagainya untuk memantapkan kaedah atau kaedah pengajaran mereka masing masing,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Akademia Politeknik Dan Kolej Komuniti (AA POLYCC) Tahun 2023 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

Pada Majlis berkenaan turut menyaksikan Datuk TS Mohlis Jaafar menerima penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Tokoh Akademia TVET

Untuk rekod setakat ini seramai lebih 10,000 tenaga pengajar di semua institusi berkenaan di seluruh negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE