fb fb fb fb fb

Kerajaan mempunyai langkah strategik tangani isu tuntuan Kumpulan Sulu

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Kerajaan mempunyai langkah-langkah strategik yang akan dilaksanakan bagi menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia.

Bagaimanapun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan langkah-langkah tersebut tidak dapat dedahkan.

Perkara berkenaan telah dibincangkan oleh pasukan khas bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.

"Terkini, pasukan peguam penuntut dalam proses untuk menguatkuasakan 'final award' oleh Dr. Gonzalo Stampa di Belanda bagi menuntut melalui proses sitaan aset syarikat-syarikat dari Malaysia di sana. Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi.

"Percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik kerajaan Malaysia di Belanda boleh dikatakan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission On International Trade Law (UNCITRAL),"katanya.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi turut menjelaskan Mahkamah Madrid telah memutuskan bahawa pelantikan Penimbang Tara, Dr Gonzalo Stampa telah pun terbatal dan tidak sah pada 29 Jun 2021.

Namun, Dr Gonzalo bersama pihak penuntut bertindak tanpa mempedulikan keputusan pembatalan tersebut dan telah memindahkan proses timbang tara dari Sepanyol ke Perancis.

Kes timbang tara seterusnya dibawa ke Perancis dan Dr. Gonzalo Stampa telah mengeluarkan 'final award' pada 28 Februari 2020 yang memutuskan supaya Kerajaan Malaysia membayar kepada penuntut sejumlah AS$14.92 bilion.

Justeru, kerajaan telah mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan pada 12 Julai 2022 bagi mencabar final award tersebut.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi menjawab pertanyaan ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Dr Wan Junaidi memaklumkan negara turut berhadapan dengan situasi laporan berita kurang tepat oleh media luar negara mengenai isu tuntutan Kumpulan Sulu.

Tambah beliau lagi, rakyat Sabah juga berperanan untuk menapis dan menghalang penyebaran berita tidak tepat mengenai isu tuntutan kumpulan berkenaan.


(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

Media Baharu