KUALA LUMPUR, 28 Jun - Kerajaan MADANI bukan sahaja sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat dalam setiap pelaksanaan dasar kerajaan, malah ia turut diterjemahkan menerusi usaha reformasi berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terjamin.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengulas mengenai kebimbangan kebanyakan rakyat berhubung kenaikan harga barang susulan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatann (SST) bermula 1 Julai 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan memaklumkan, beberapa buah import serta perkhidmatan kecantikan antara yang dikecualikan dari peluasan SST tersebut.
"Perdana Menteri memaklumkan kebiasaannya apabila MOF sudah umum sesuatu perkara, ia akan berpegang kepada pendirian itu dan tidak akan berganjak tetapi seperti kita dengar daripada Perdana Menteri disusuli kenyataan rasmi MOF semalam, bukan sahaja oren, epal, limau mandarin dan kurma dikecualikan. Malah bagi golongan ibu, perkhidmatan kecantikan juga tidak dikenakan SST," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata keprihatinan Kerajaan MADANI turut diberikan terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PMKS) apabila menaikkan had nilai ambang bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
"Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) telah memaklumkan keputusan kerajaan menaikkan jumlah itu, ia melegakan 75% PMKS," ujarnya.
Terdahulu, Presiden SAMENTA, Datuk William Ng menyambut baik pindaan pelaksanaan semakan semula peluasan SST oleh kerajaan. Selain menyatakan tindakan kerajaan itu sebagai cakna dengan permasalahan rakyat.