fb fb fb fb fb

173,642 kandungan judi, 'scam' di media sosial berjaya diturunkan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 28 Jun - Sejumlah 188,528 kandungan yang melanggar undang-undang telah dimohon oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk diturunkan daripada pelbagai platform media sosial dari 1 Januari sehingga 26 Jun 2025.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, permohonan dibuat MCMC terhadap platfom media sosial itu berdasarkan aduan orang ramai.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 173,642 kandungan telah dipadam melibatkan pelbagai kesalahan termasuk judi dalam talian, penipuan (scam), buli dan gangguan serta kandungan jelik yang melibatkan melibatkan kanak-kanak.

"Sebanyak 51 peratus daripada kandungan yang diturunkan melibatkan aktiviti judi dalam talian iaitu 96,000. Manakala 24 peratus kandungan pula berkaitan penipuan (scam) bersamaan hampir 46,000.

Jika ada pihak mendakwa MCMC bertindak kejam atau bersikap diktator, perlu difahami ketegasan MCMC adalah terhadap mereka yang melanggar undang-undang termasuk 'scammer', penyebar fitnah dan pelaku aktiviti judi dalam talian," tegasnya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Program NADI Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Komunikasi melalui MCMC tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memadamkan kandungan di platform media sosial sebaliknya, ia sepenuhnya ditentukan pemilik platform media sosial berkenaan.

"Ramai yang menyangka saya selaku Menteri Komunikasi atau MCMC sendiri yang menurunkan kandungan terbabit, sedangkan hakikatnya bukan begitu.

MCMC hanya menyampaikan aduan orang ramai berhubung jenayah yang berlaku di platform media sosial. Keputusan untuk menurunkan kandungan tersebut terletak sepenuhnya di tangan platform berkenaan dan tindakan hanya diambil jika mereka bersetuju bahawa kandungan itu melanggar undang-undang negara," jelasnya.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE