KUALA LUMPUR, 28 Jun - Perpaduan dan persaudaraan antara ummah menjadi asas kukuh dalam memperkasa konsep madani.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot, menegaskan kekuatan negara tidak hanya terletak pada aspek fizikal atau ekonomi semata-mata, tetapi lebih kepada sistem etika dan kemanusiaan yang menyeluruh serta penghayatan nilai perpaduan sejati.
"Ini amat penting. Perpaduan amat penting sekali. Sekarang kita harus berjanji bahawa tahun 1447 Hijrah ini kita tunaikan tanggungjawab kepada Allah, Raja dan negara dengan lebih baik," katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri hari ini.
Beliau berkata, semangat Hijrah perlu diterjemahkan dalam usaha membina negara berdaulat yang kuat, melalui perpaduan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah turut merangkumi hubungan harmoni antara Islam dan bukan Muslim.
Menurut Dr Nooh, kepimpinan negara juga memikul amanah besar dalam memastikan pentadbiran dan tatakelola negara terus berada di landasan yang betul, dengan peranan ulama sebagai penasihat yang membimbing ke arah kebenaran dan keadilan.
Terdahulu, beliau diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam pembangunan pemikiran Islam di negara ini.
"Saya bersyukur kepada Allah atas rezeki ini. Tidak saya lupakan jasa insan-insan penting dalam hidup saya khususnya ibu bapa, isteri dan anak-anak.
"Saya juga menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas pengurniaan anugerah ini," katanya penuh syukur.