fb fb fb fb fb

SST pacu hasil negara, pastikan golongan rentan tidak terbeban - Pensyarah UUM

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin (gambar kecil)

SINTOK, 28 Jun – Penambahbaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan kerajaan disifatkan sebagai langkah progresif memperkukuh kekuatan fiskal negara.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, langkah itu juga selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada kadar 3.8 peratus tahun ini berbanding 4.1 peratus tahun 2023.

“Kerajaan melakukan pengubahsuaian terhadap cukai SST supaya ia lebih bersasar. Ini merupakan satu perubahan progresif yang penting.

"Maksud progresif di sini ialah, mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar lebih, manakala golongan berpendapatan sederhana mungkin akan membayar sedikit sahaja, dan golongan miskin serta rentan tidak perlu membayar kadar sifar.

"Inilah pendekatan yang sedang dilaksanakan kerajaan," katanya kepada RTM pada Rabu lalu.

Katanya, kerajaan dijangka memperoleh antara RM5 bilion hingga RM7 bilion hasil tambahan daripada pelaksanaan SST.

"Dan hasil itu akan disalurkan semula untuk membiayai perkhidmatan asas kepada rakyat.

“Daripada kita lahir di hospital, pergi sekolah, guna jalan raya, air bersih, hinggalah kepada keselamatan dan keadilan, semuanya hasil daripada perbelanjaan kerajaan. Dan SST menjadi antara sumber utama untuk membiayainya,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan seperti krisis iklim, revolusi IR 4.0 dan ketidaktentuan geopolitik, kerajaan perlu memiliki dana mencukupi untuk menyediakan infrastruktur dan perlindungan sosial yang bersesuaian.

“Kita tidak boleh melihat SST hanya sebagai punca kenaikan harga barang. Ia perlu dilihat dalam konteks menyeluruh, termasuk bagaimana hasil itu digunakan untuk memastikan negara terus bersedia menghadapi cabaran ekonomi akan datang,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN