fb fb fb fb fb

Mayat mangsa disambar buaya ditemukan di Sungai Maong

Keluarga mangsa meratapi pemergian Jacob Tuan, 33, dipercayai dibaham buaya ketika memancing malam tadi

KUCHING, 28 Jun – Selepas lebih 14 jam, mayat seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika memancing di Sungai Maong, Matang, malam tadi, ditemukan pada 12.30 tengah hari tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Jacob Tuan, 33, ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, berkata mayat Jacob ditemukan dalam keadaan terapung di tepi tebing sungai dengan beberapa kesan kecederaan.

“Ada bahagian badan yang cedera… mangsa ditemui masih (terapung) dalam air, dengan pakaian separuh ada. Keadaan fizikalnya masih dapat dikenal pasti,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata keadaan air sungai yang surut membantu pasukan operasi mengesan mayat mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam semalam, mangsa dilaporkan sedang memancing bersama bapa mentuanya sebelum diserang buaya dan ditarik ke dalam sungai.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi turut disertai pelbagai agensi termasuk bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN