fb fb fb fb fb

Kerajaan lihat keperluan rangka dasar mesra pelabur, teknologi AI

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan persidangan video dengan pengasas bersama syarikat Tools for Humanity (TFH), Sam Altman dan Alex Blania, serta Ole Ruch dari Nordstar, hari ini.

Anwar berkata, perbincangan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menyentuh beberapa perkara berkaitan dengan kemajuan teknologi yang berkembang pantas.

“TFH turut memaklumkan perkembangan projek Worldcoin, inisiatif terkini berkaitan identiti dan rangkaian kewangan global serta inklusif dengan mengutamakan ciri-ciri kerahsiaan dan memberi perlindungan kepada informasi persendirian,” katanya menerusi Facebook rasmi beliau, hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan sedang melihat keperluan bagi merangka dasar dan meminda sebarang perundangan yang berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) agar Malaysia sentiasa mesra pelabur dan dapat menyokong perkembangan infrastruktur teknologi tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata aspek keselamatan data perlu diberikan keutamaan.

“Malaysia perlu segera mengadaptasi landskap ekonomi semasa untuk terus berkembang supaya sentiasa kompetitif dalam rantau ini dengan menarik pelaburan daripada syarikat dalam sektor teknologi, AI dan blockchain," katanya.

Anwar berkata, Malaysia telah mempunyai Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 dan Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 sebagai satu hala tuju yang berpotensi mempercepatkan adaptasi AI dalam sektor awam dan swasta.

“Kerajaan MADANI komited untuk memacu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam sektor-sektor berimpak tinggi dan inovasi serta menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif,” kata beliau.

Persidangan secara maya yang diadakan pagi itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

SITI AISHAH MD ISA