WANGSA MAJU, 10 Mac- Kuching, Sarawak dipilih sebagai lokasi pertama Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Negara pada 20 Mei ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata sambutan skala besar selama seminggu itu merupakan inisiatif untuk memperkasa penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara.
Minggu Perpaduan Negara turut memberi tumpuan terhadap pembangunan masyarakat madani.
Ia sekali gus membentuk masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan pembangunan dengan menyemai nilai-nilai murni.
"Kita akan laksanakan Minggu Perpaduan Negara di semua negeri. Banyak program besar yang kita anjurkan. Pelancarannya pada 20 Mei di Sarawak, hampir dengan Hari Gawai. Kita akan bergerak ke Sabah kemudian Johor, Pulau Pinang dan semua negeri di Malaysia," kata Aaron kepada pemberita RTM pada pelancaran Program Galeri Uniti, di sini.
(Foto FB Menteri)
Tambahnya, pelbagai program dilaksana menerusi tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Program Komuniti Rahmah dan Semarak Perpaduan seperti Program Galeri Uniti.
Sementara itu, Program Galeri Uniti berfokus untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui platform berkonsep santai dengan mempamerkan keunikan kepelbagaian adat, budaya dan kaum.