fb fb fb fb fb

Kerajaan kurangkan elaun pembangunan Ahli Parlimen - PM

PORT DICKSON, 3 Februari- Peruntukan tahunan untuk Ahli Parlimen dikurangkan lebih 65% iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengesahkan perkara itu berkata, pengurangan elaun yang bertujuan untuk mengawal kewangan negara itu akan dilaksana secara berperingkat.

Beliau berkata, pengurangan peruntukan itu melibatkan elaun pembangunan dan akan diselaraskan dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Kemajuan Negeri yang disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

Jelasnya, ia termasuk untuk projek yang mendesak seperti pembaikan jalan yang rosak dan mendalamkan sungai.

Tambah beliau, jumlah peruntukan itu akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi negara bertambah baik pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meluangkan masa makan tengah hari di sini yang turut diiringi oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Perdana Menteri sempat meluangkan masa selama kira-kira 40 minit menjamu selera dan beramah mesra dengan masyarakat setempat.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama 1,500 jemaah di Masjid Qariah Bagan Pinang.

Media Baharu