fb fb fb fb fb

Kerajaan kuat, stabil serta dominan, demi kesejahteraan rakyat

KEMAMAN, 21 Oktober - Negara memerlukan kerajaan yang kuat, stabil serta dominan demi kesejahteraan rakyat.

Justeru, rakyat perlu membuat pilihan tepat dengan memilih kerajaan yang mampu menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi dan melaksanakan pembangunan yang adil di antara bandar dan luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya terbukti cekap, berintegriti dan beramanah dalam melaksanakan pelbagai program khusus untuk rakyat.

"Sebab itulah kalau kita mahukan kerajaan yang kuat, stabil, parti saya mesti menjadi parti yang dominan dalam kerajaan yang akan dibentuk nanti. Kalau parti kita menjadi parti dominan dalam kerajaan yangg baharu, Insya-Allah kita mampu wujudkan kerajaan yang stabil, dan saya yakin ekonomi kita bertambah baik.

"Jadi tuan-tuan dan puan-puan, kuasa kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya sudah pulangkan mandat kerajaan yang ada hari ini kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menentukan saya bubarkan parlimen, kerana tidak tahan dengan tohmahan-tohmahan yang mengatakan kerajaan hari ini kerajaan tebuk atap, tebuk belakang, tebuk macam-macam.

"Tetapi apabila saya umumkan yang hairannya, mereka pula tidak setuju, sebelum ini mereka yang memperlekehkan kerajaan ini kata macam-macam. Tetapi apabila sudah bubar mereka pula tidak setuju dan bawa ke mahkamah dan sebagainya," kata Ismail di sini.

Pada masa sama beliau meminta rakyat agar memperhalusi kandungan Bajet 2023 yang dibentangkan di parlimen baru-baru ini, bahawa ternyata merangkumi pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira usia dan status.

Intipati Bajet 2023 bukti jelas kerajaan pimpinannya memahami denyut nadi rakyat termasuk memberikan peruntukan besar khusus buat penduduk di luar bandar meliputi RM3.62 bilion peruntukan mengurus dan RM7.31 bilion bagi peruntukan pembangunan yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

(Ismail berucap ketika hadir dalam Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama
Warga KETENGAH 
di Perkarangan Kompleks Sukan Bandar Seri Bandi, di sini)

Ini termasuk peranan kementerian itu dengan kerjasama rakyat yang berperanan meningkatkan ekonomi wilayah di luar bandar termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

"Saya ingin merakamkan tahniah atas kejayaan KETENGAH dalam melaksanakan program pembangunan ekonomi dan sosial apabila memajukan kawasan luar bandar yang meliputi 650,000 hektar yang memberi manfaat kepada lebih 168,000 penduduk, saya yakin dengan kemampuan KETENGAH untuk bangunkan kawasan KETENGAH ini, kerana itu adalah bajet untuk pembangunan KETENGAH ditingkatkan oleh kerajaan daripada RM39 juta pada tahun 2022, untuk tahun 2023 kita naikkan kepda RM56 juta," kata Ismail Sabri.

Media Baharu