fb fb fb fb fb

Keluarga boleh lawat penghuni penjara pada 26 dan 27 Oktober

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Jabatan Penjara memberi kebenaran kepada ahli keluarga untuk melawat penghuni penjara terutamanya yang beragama Hindu pada 26 dan 27 Oktober ini sempena perayaan Deepavali pada Isnin ini.

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan tarikh berkenaan ditetapkan bagi semua institusi penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Menurut kenyataan itu, selain kaedah perjumpaan secara bersemuka, keluarga penghuni penjara juga boleh melakukan lawatan secara dalam talian bermula 29 hingga 31 Oktober ini.

"Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan membuat ujian RT-PCR atau RTK-Ag dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

"Seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga,” menurut kenyataan itu.

(FOTO HIASAN)

Jabatan Penjara juga memaklumkan pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat oleh ahli keluarga menerusi tiga kaedah iaitu melalui sistem i-Visit dalam laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

Kenyataan itu memberitahu, orang ramai boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati menerusi www.prison.gov.my.

Media Baharu