fb fb fb fb fb

Kerajaan komited tangani kes kemalangan jalan raya, sasar pengurangan 50% menjelang 2030

(FOTO BERNAMA)

BERA, 13 Mac- Kemalangan jalan raya di negara ini membimbangkan kerana menjadi antara penyebab utama kematian dengan sebanyak 14,308 kes direkodkan pada 2019 hingga 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih membimbangkan apabila dalam tempoh yang sama golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi dengan purata 7,077 kes yang mencecah 50 peratus daripada kadar kematian keseluruhan.

Statistik ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi semasa berada di jalan raya dan ini merupakan cabaran utama pihak penguatkuasa untuk membendungnya.

“Untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 50 peratus menjelang 2030 salah satu aspek penting adalah disiplin. Pendidikan perlu diperbanyakkan, interaksi dengan penunggang motosikalnya perlu diperbanyakkan."

"Jadi untuk memberikan kesedaran, sebenarnya kita dah buat apa sahaja, kita buat laluan motosikal pun tapi kalau disiplin tak ada, itu yang menyebabkan kemalangan. Jadi pentingnya adalah pendidikan kepada semua penunggang motosikal," kata beliau dalam sidang akhbar selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang.

Pada majlis itu seramai 404 masyarakat Orang Asli di daerah Bera menerima lesen memandu melalui program BLKM.


(Masyarakat Orang Asli, Norlina A/P Rojan dan Lajijan bin Lilah hadir ke Program BLKM di sini bagi menerima bantuan itu/BERNAMA)

Menurut Ismail Sabri, pihak JPJ berhasrat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dengan merangka pelbagai usaha dan program.

Antara usaha yang boleh dilakukan ialah melalui penekanan kepada disiplin dan memperbanyakkan lagi program kesedaran dan libat urus bersama penunggang motosikal.

Dalam pada itu, beliau berkata program BLKM amat signifikan dalam membantu dan memudahkan golongan sasar termasuklah masyarakat Orang Asli mendapatkan lesen memandu yang sah.

"Melalui program ini, calon terlibat hanya perlu membanyar sebanyak RM20 dan akan diberi latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen memandu serta mereka diberi pendedahan mengenai undang-undang jalan raya,"tambahnya.

Media Baharu