fb fb fb fb fb

28 institusi mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Kereta Formula MEC 2022

KUALA LUMPUR, 13 Mac - 28 institusi dari dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Kereta Formula MEC 2022 setakat ini, menurut Pensyarah Kanan dan Pengarah Program Formula MEC Dr Mohamad Amirudin Ismail.

Kejohanan anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu, menampilkan ciptaan kereta Formula 1 yang direka sendiri oleh pelajar jurusan automotif.

Kejohanan terkenaan dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Julai nanti melibatkan penyertaan dari Universiti Padang, Indonesia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat Mara, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan German Malaysia Institute.

(Foto Gambar hiasan)

"Formula MEC tersebut melibatkan bidang automotif dengan mempelajari rekabentuk dan teknologi pembuatan menerusi welding dan pembinaan 'chasis' dan sebagainya. Pendekatan MEC memberi peluang kepada pelajar dengan bimbingan oleh pensyarah untuk mereka menunjukkan bakat mereka di peringkat lebih tinggi." kata Mohamad Amirudin ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di TV1, di Angkasapuri.

Formula MEC masih mengalu-alukan penyertaan daripada institusi yang berminat mempamerkan keupayaan pelajar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Dua kategori dipertandingkan iaitu teori dan perlumbaan dengan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 daripada keseluruhan RM10,000 hadiah yang ditawarkan.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, UPSI Profesor Madya Dr Zaliza Hanapi selaku Penasihat Program Formula MEC berkata, selain tahap kelajuan hasil ciptaan, penilaian juga menitikberatkan aspek keselamatan rekaan.

Kejohanan Formula MEC 2022 turut mendapat kerjasama Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) khususnya dalam memastikan program tersebut berlangsung dengan pematuhan dari segi aspek keselamatan.

 

Media Baharu