fb fb fb fb fb

Kerajaan Kelantan nafi pembalakan punca harimau berkeliaran di Gua Musang

KOTA BHARU, 12 Januari - Kerajaan negeri Kelantan menafikan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak beberapa hari lepas berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengkaji dan melakukan penyiasatan tentang punca sebenar mamalia itu keluar daripada habitat asal.

Ujar beliau, kejadian harimau memasuki kampung di negeri itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sebelum ini sudah ada kes direkodkan seperti berlaku di daerah Jeli namun kejadian itu tidak ‘dilabelkan’ berpunca daripada pembalakan.

“Kejadian ini membabitkan satu kes, kalau banyak mungkin betul (disebabkan pembalakan) dan ia kes terpencil. Jangan sebab seorang mati diterkam harimau, kita letak semua kesalahan disebabkan penebangan hutan, kecuali ada tiga empat ekor harimau yang keluar masuk kampung dan makan orang, itu adalah serius.

“Setakat ini Perhilitan sedang bergerak menjalankan tugas mereka dan mengesan hidupan liar itu. Mengikut maklumat diperolehi ada tiga ekor harimau telah masuk ke kampung, tetapi yang makan orang (kejadian di Pos Bihai) itu bukan daripada ketiga-tiga itu,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Setakat ini juga, tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di negeri ini memandangkan keselamatan hidupan liar itu khususnya di Kelantan masih terjaga selain undang-undang mengenai aktiviti juga sudah ada sebelum ini. -BERNAMA

Media Baharu