TASEK GELUGOR, 28 September- Kerajaan sedang membincangkan penyelarasan bantuan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) khusus untuk golongan pesawah bagi memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan mengenai penyelarasan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan KPKM juga sedang meneliti cadangan pemberian kad subsidi khas bagi pesawah, mengambil kira siling kelayakan bulanan 300 liter subsidi RON95 bagi setiap rakyat Malaysia, agar manfaat mencukupi untuk golongan terbabit.
"Kementerian dan Ketua Setiausaha sedang menyelaraskan perkara ini. Hasil perbincangan, keputusan telah pun dibuat dan akan dilaksanakan segera," katanya selepas merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian KPKM Inc. Pulau Pinang di Labuh Banting, di sini.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa golongan pesawah tidak menerima manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95, selain kapasiti bulanan subsidi dikatakan tidak mencukupi.