BANDAR HILIR, 28 September - Melaka bakal melancarkan Kempen Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0), 31 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagi tahun ketiga kempen TMM akan tampil lebih meriah berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, pelbagai pengisian sedang diatur bagi menggamit kehadiran lebih ramai pelancong pada 2026.
"Hujung tahun ini Melaka akan meneruskan kampen Tahun Melawat Melaka 2.0 pada 31 Disember sebagai pemulaan kampen tahun ketiga. Pelbagai pengisian sedang diatur dengan lebih rancak, lebih menarik dan lebih menyerlah bagi menggamit lebih ramai pelancong pada tahun 2026. Ia pasti lebih meriah, lebih hebat berbanding tahun lepas," ujarnya ketika ditemui pada Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di Bandar Hilir.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Tiong King Sing berkata, perpaduan rakyat di negara ini berjaya membantu usaha kerajaan menganjurkan program terbesar dunia.
Ia terbukti dengan kejayaan penganjuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 ini serta Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang malam tadi.
"Kita juga pamerkan kepada seluruh dunia kita boleh lakukan lebih baik berbanding negara lain jika semua pihak bersatu. Dengan perpaduan kita boleh menganjurkan program bukan hanya diperingkat tempatan, malah di peringkat dunia," katanya.