fb fb fb fb fb

Kerajaan Johor mohon perancangan projek tebatan banjir dimasukkan dalam Bajet 2023

SEGAMAT, 27 Januari - Kerajaan negeri Johor memohon agar Kerajaan Persekutuan turut memasukkan perancangan projek-projek berkaitan tebatan banjir bagi negeri itu dalam pembentangan Bajet 2023 akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia penting sebagai pelan jangka panjang dalam mengatasi masalah banjir di negeri tersebut.

"Projek tebatan banjir ini adalah satu perkara yang cukup penting dan kita doa dalam bajet yang akan diumumkan nanti ada berita baik untuk warga Johor supaya dapat kita kurangkan isu banjir di kawasan Johor ini, Insya-Allah," kata beliau kepada media selepas melakukan lawatan di PPS Kampung Paya Merah, Labis, di sini.


(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ditemu bual media selepas melakukan lawatan di
PPS Kampung Paya Merah, Labis, Segamat) 

Mengulas mengenai perkembangan situasi banjir di negeri itu, beliau berkata ia menunjukkan trend penurunan berbanding semalam.

Ia dapat dilihat apabila jumlah PPS yang dibuka dan jumlah mangsa terjejas banjir semakin berkurangan.

"Nasihat dari pihak kerajaan negeri adalah jaga keselamatan dan jaga kesihatan pada masa sama di peringkat negeri kalau perlu bantuan dan sebagainya 'southern volunteers' boleh bantu tapi dari setiap keluarga mangsa di peringkat NADMA akan bagi RM1,000 bantuan dan Insya-Allah kerajaan negeri akan tambah RM300 untuk setiap keluarga," ujarnya.

Media Baharu