SEGAMAT, 27 JanuariĀ - Polis Segamat tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan beberapa bot di sekitar Sungai Segamat walaupun keadaan banjir di daerah itu kian pulih.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata ia bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pihaknya berada pada tahap terbaik dan boleh terus diaturgerakkan sekiranya diperlukan.
"Berdasarkan laporan dari Jabatan Pengairan Dan Saliran itu, air dari kawasan Labis ni akan terus ke Segamat dan kemungkinan dalam masa enam hingga ke lapan jam, Segamat juga berkemungkinan akan mengalami masalah bencana banjir, jadi kita bersedia dan semoga benda itu tak berlaku lah" kata beliau ketika ditemui media, di sini.
(Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah)
Mengulas aspek keselamatan harta benda dan rumah penduduk yang ditinggalkan, beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan rondaan.
Setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan jenayah pecah rumah melibatkan rumah penduduk terjejas banjir.