fb fb fb fb fb

JKR Negeri Sembilan, pihak kontraktor diminta siapkan segera kerja naik taraf jambatan di Jalan Seremban-Kuala Pilah - MB

(FOTO FAIL)

SEREMBAN, 27 Januari - Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan serta pihak kontraktor terlibat diminta untuk menyiapkan segera kerja-kerja menaik taraf sebuah jambatan di Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kuala Pilah yang menjadi antara punca kesesakan teruk di jalan tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya mengambil maklum kesesakan lalu lintas dialami pengguna jalan raya di situ setiap kali musim cuti perayaan termasuk cuti sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap projek naik taraf jambatan yang sedang dijalankan di situ perlu segera disiapkan supaya kesesakan serupa tidak berulang apabila tiba musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri kelak.

Jelasnya, cadangan menaik taraf kondisi dan keluasan jalan itu sudah pun dirancang namun mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan atas beberapa faktor.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ditemu bual media pada Majlis
Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina 2023 di Seremban)

Aminuddin turut berharap agar pihak kontraktor dan JKR dapat menyelesaikan isu itu dengan kadar segera.

"Ini Kuala Pilah kita sedia maklum, merupakan jalan yang sesak dan ada pembinaan yang tak selesai lagi, naik taraf yang tak selesai, dan ini mengganggu sedikit lalu lintas dan saya berharap pihak kontraktor dan pihak JKR dapat segerakan menaik taraf jambatan tersebut dengan segera," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina 2023, di sini.

Tambahnya, kerajaan negeri sememangnya mempunyai cadangan untuk melebarkan jalan berkenaan namun ia terhalang dengan isu tanah adat serta rumah penduduk kampung yang banyak terletak berhampiran sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah itu.

Kesesakan teruk di Jalan Seremban-Kuala Pilah baru-baru ini menimbulkan rungutan pengguna jalan raya tersebut, malah ada di antara mereka yang memaklumkan terpaksa menempuh perjalanan sehingga lima jam dari Kuala Pilah ke Seremban meskipun kebiasaannya ia hanya mengambil masa 45 minit.

Media Baharu