SUNGAI PETANI, 27 Januari - Polis merampas 135 buah mesin bitcoin selepas menyerbu tingkat atas sebuah premis dua tingkat di Taman Seruling Indah 2, Sungai Petani, Kedah yang dipercayai beroperasi sebagai pusat aktiviti perlombongan bitcoin .
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata serbuan tersebut dilakukan setelah polis menerima aduan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa premis terbabit melakukan penyambungan elektrik secara haram.
Turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 7.53 malam tadi adalah dua unit desktop komputer berinternet.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat penyambungan terus dari kabel utama elektrik luar premis jenis rumah kedai tanpa melalui meter elektrik.
(Polis merampas 135 buah mesin bitcoin selepas menyerbu tingkat atas sebuah premis dua
tingkat di Taman Seruling Indah 2, Sungai Petani, Kedah)
Terdapat juga kesan tebuk pada bahagian dinding hadapan premis untuk laluan kabel elektrik yang dicuri ke mesin melombong bitcoin yang berada di dalam premis.
Premis terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37 (1) dan/atau Seksyen 37 (3) dan/atau Seksyen 37 (14), Akta Bekalan Elektrik 1990 pada pepasangan milik TNB.
Kes disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.