fb fb fb fb fb

Peniaga burger hantar emel kepada Pejabat PM mohon bantuan kos pembedahan isteri

(Nasarudin Md. Nasir memaklumkan tindakan menghantar emel kepada Pejabat Perdana Menteri bagi
mendapatkan bantuan untuk menampung kos pembedahan isterinya)  

SEREMBAN, 27 Januari - Seorang peniaga burger nekad menghantar emel kepada Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan bantuan untuk menampung kos pembedahan isterinya yang menghidap penyakit 'ovarian cysts' sejak empat bulan lalu.

Nasarudin Md. Nasir, 51 tahun, berkata, itu merupakan antara ikhtiar yang dilakukan demi isterinya, Zudairulwati Jaafar, 43 tahun, dan berjaya mendapat maklum balas daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang datang menyantuni dan menyampaikan sumbangan melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Nasarudin yang mempunyai dua orang anak lelaki yang berusia tujuh dan lima tahun, mengalami kekangan kewangan untuk mencari penempatan yang selesa dan membiayai kos rawatan isteri yang menghidapi penyakit tersebut.

Ahmad Farhan menyampaikan sumbangan wang tunai RM10,000 melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan bagi membantu membiayai kos pembedahan Zudairulwati dan keperluan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan berharap agar bantuan itu dapat membantu mengurangkan beban penerima sekeluarga.

"Alhamdulillah hari ini kami sangat berterima kasih kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri sudi untuk turun bersama santuni Encik Nasarudin di sini, jadi penyerahan telah dibuat, Alhamdulillah. Kita harap boleh membantulah sedikit sebanyak meringankan bebanan saudara Nasarudin dan keluarga dan membantu beliau untuk rawatan isteri yang difahamkan mengidap sejenis penyakit, kita harap dapat bantu beliau lah," kata beliau ketika ditemui di kedai burger Nasarudin di Bandar Seremban Selatan, di sini.


(Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan kepada 
Nasarudin Md. Nasir melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan)

Sementara itu, Nasarudin memaklumkan beliau tergerak hati untuk menghantar emel kepada Pejabat Perdana Menteri kerana tidak sanggup melihat isteri menahan sakit 'ovarian cyst' tahap tiga yang agak teruk sehingga kadangkala muntah berdarah dan sukar bernafas.

Isterinya kini hanya bergantung pada ubat tahan sakit dari klinik biasa memandangkan beliau tidak mampu membiayai kos pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim yang berjumlah RM3,500.

Nasarudin yang menjalankan perniagaan burger sejak tiga bulan lalu, kini menetap di premis perniagaan yang sama bersama keluarga ekoran kekangan wang untuk membayar sewa rumah.

"Saya mewakili keluarga saya nak ucapkan ribuan terima kasih kerana ada pihak yang sudi membantu kami dan mendengar apa rintihan daripada kami dan saya tak tahu nak cakap macam mana, rasa terharu dari hati seorang bapa, suami dan rakyat Malaysia lah," ujar beliau.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nasarudin di talian 011-31982472 atau melalui akaun Maybank 164294278295 (Nasarudin).

Media Baharu