KUALA LUMPUR, 19 Januari - Kerajaan beri jaminan akan membantu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk mempromosi hak asasi manusia di negara ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan acuan Malaysia.
Ia bertujuan menjaga kesejahteraan rakyat dan menangani sebarang perlanggaran hak asasi manusia yang berlaku dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan susulan pertemuannya dengan SUHAKAM semalam, memaklumkan pertemuan itu adalah bukti illtizam kerajaan Persekutuan dalam membantu suruhanjaya tersebut.
Beliau menyedari bahawa isu Hak Asasi Manusia menyentuh pelbagai aspek dalam lapisan masyarakat dan ada kalanya menyentuh perkara-perkara sensitif dan perlu dikaji dengan teliti.
Beliau menjelaskan, SUHAKAM juga membentangkan cadangan penambahbaikan institusi penguatkuasaan untuk pertimbangan kerajaan.
Inti pati pertemuan tersebut antaranya bagi membincangkan hal ehwal suruhanjaya, perancangan laporan tahunan SUHAKAM, cadangan pindaan Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597) dan perkembangan terkini mengenai Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) dan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP).