KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 sebagai tidak berperlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu akan diteliti sama ada selari dengan agenda reformasi institusi yang digagaskan di bawah Kerajaan MADANI.
“Reformasi institusi itu kena dikaji bersama. Ia bukan (bergantung) keputusan mahkamah sahaja. Mahkamah beri pandangan dan kita (kerajaan) akan teliti kalau selari dengan (agenda) reformasi.
Macam pandangan tentang perhimpunan, saya ada masalah kerana Raja-Raja Melayu kata bagaimana dengan kebebasan perhimpunan di Istana? Jadi kita kena fikir. Keputusan Mahkamah Persekutuan walau kita hormat.
Kadang-kadang kerana keghairahan nak tunjuk kebebasan itu menyinggung kawasan-kawasan yang kita anggap tidak harus diberikan ruang umpama perkarangan Istana,” katanya ketika ditemui medoa selepas menghadiri Majlis Penutup Forum Undang-Undang ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan beberapa peruntukan dalam Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai tidak berperlembagaan.
Dalam persidangan Dewan Rakyat beliau turut menjelaskan peruntukan asal akta berkenaan merupakan draf daripada kerajaan sebelum ini.
Fahmi turut menjelaskan bahawa pihaknya akan meneliti proses rayuan berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada AGC.