fb fb fb fb fb

Kaedah perolehan rundingan terus TH, bergantung keperluan khusus - Dr. Na'im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Kaedah perolehan yang dilaksanakan di Lembaga Tabung Haji (TH) adalah melibatkan proses tender atau rundingan terus, di mana kebanyakan perolehan dilakukan melalui proses tender.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, pada tahun 2012, TH telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dikecualikan daripada proses perolehan kerajaan dan kuasa melantik itu diberikan sepenuhnya kepada Ahli Lembaga Pengarah.

"Saya ingin menegaskan bahawa TH melalui proses rundingan terus yang ketat telah memilih konsortium gabungan syarikat-syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus.

Ia bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi terutamanya fungsi tabungan bagi menangani kedudukan simpanan yang rendah dikalangan pendeposit," katanya.

Tambah beliau, rundingan terus adalah kaedah perolehan yang dibenarkan dalam keperluan tertentu, terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus seperti khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM