fb fb fb fb fb

Malaysia sokong cadangan Thailand guna pegawai ASEAN sebagai pemerhati sempadan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Malaysia bersetuju terhadap cadangan yang dikemukakan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai agar tambahan pegawai pemerhati di sempadan Bangkok-Phnom Penh diambil dalam kalangan pegawai kedutaan ASEAN terlebih dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan tersebut tidak bercanggah dengan tujuan sebenar penambahan pegawai pemerhati seperti diusulkan Malaysia.

"Tiada sebarang percanggahan. Baca kenyataan pemangku Perdana Menteri Thailand beliau menyatakan agar usaha itu dimulakan dengan pegawai kedutaan ASEAN terlebih dahulu. Jadi, tiada sebarang masalah," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penutup Forum Undang-Undang ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Datuk Seri Anwar mengulas lanjut, hasrat Malaysia mencadangkan penambahan pegawai pemerhati antarabangsa di sempadan kedua-dua negara bertujuan memperkukuh kapasiti pegawai sedia ada sekali gus memastikan perjanjian gencatan senjata dihormati.

"Kita memerlukan tambahan pegawai pemerhati kerana setakat ini, kita ada 10 pemerhati Bangkok dan dua di Phnom Penh. Jadi, kita cadangkan tambah pegawai pemerhati. Kita boleh ambil dari pasukan pertahanan atase dan kedutaan. Jika masih tidak cukup, kita ambil dari negara mereka," ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan cadangan Datuk Seri Anwar untuk menambah pegawai pemerhati antarabangsa di sempadan Thailand-Kemboja ditolak Phumtham bagi memantau perjanjian gencatan senjata di sempadan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM