KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ancaman varian COVID-19 terkini terhadap golongan berisiko tinggi berada pada tahap rendah dan terkawal, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau menjelaskan, keadaan itu seiring dengan fasa negara yang kini hidup bersama virus berkenaan, yang dianggap sebahagian daripada jangkitan saluran pernafasan lain seperti influenza.
“Walaupun trend peningkatan dan penurunan kes merupakan perkara biasa, komplikasi masih boleh berlaku, khususnya dalam kalangan warga emas serta golongan berisiko,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Lukanisman berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai tahap ancaman varian COVID-19 terkini terhadap golongan berisiko tinggi.
Menurut beliau, kebanyakan kes dilaporkan hanya bergejala ringan, manakala dua kematian direkodkan sejak Januari 2025, berbanding 58 kes kematian sepanjang tahun 2024.
Katanya lagi, peningkatan kes yang berlaku sejak 6 April lalu dikaitkan dengan perubahan subvarian, namun vaksin sedia ada masih mampu memberikan perlindungan.