fb fb fb fb fb

Kerajaan guna pendekatan 'G to G' selamatkan rakyat jadi mangsa sindiket di luar negara

(FOTO HIASAN)

SUNGAI PETANI, 3 Julai- Kerajaan menggunakan pendekatan 'Government to Government' atau 'G to G' dengan negara sumber bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan di luar negara.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain hubungan rapat antara Wisma Putra dengan kementerian luar negara terlibat, kerjasama erat turut dijalinkan melibatkan interaksi antara PDRM dengan polis negara terbabit.
 
"Apa pun berlaku dalam rantau ASEAN sama ada di Filipina ataupun Loas, mahupun Kemboja, Myanmar atau Thailand, kita menggunakan kaedah yang sama. Asas kita adalah rakyat Malaysia tu wajib diselamatkan dan setelah diselamatkan, diuruskan dibawa pulang dengan selamat. Itu asas kepada tindakan yang kita buat termasuk dalam insiden terbaru,"katanya.

Datuk Seri Saifuddin bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ulang Tahun RELA ke-51 peringkat kebangsaan 2023 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Kedah.
 
Beliau mengulas mengenai 127 warga Malaysia yang diselamatkan polis Filipina ketika operasi serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO) pada 27 Jun lalu.
 
Jelas Datuk Seri Saifuddin, kempen kesedaran dan peringatan demi peringatan berkaitan sindiket penipuan akan terus dilakukan di pelbagai platform.
 
Ia bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji palsu yang diberikan oleh pihak sindiket.
 
Sebaliknya mereka perlu melakukan semakan dengan pihak bertanggungjawab terlebih dahulu apabila menerima sesuatu maklumat terutama peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan bagi mengelakkan mereka ditipu.
 


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)

Media Baharu