(Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas
merasmikan Hari Ulang Tahun RELA ke 51 peringkat kebangsaan 2023)
SUNGAI PETANI, 3 Julai- Kementerian Dalam Negeri, KDN sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan wujud aktiviti rasuah melibatkan kakitangan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya didapati melakukan salah guna kuasa.
Bagaimanapun jelas Datuk Seri Saifuddin, sebagai pengawal pintu keluar masuk negara, pihak Jabatan Imigresen mempunyai sebab tertentu untuk bertanya kepada pelancong asing berkaitan beberapa perkara asas.
Antaranya, tempat penginapan di negara ini, tiket penerbangan pulang dan jumlah wang yang dibawa masuk ke negara ini.
Beliau berkata, persoalan itu juga turut diguna pakai oleh pihak Imigresen di negara-negara lain yang menerima kemasukan pelancong asing.
Justeru, tidak timbul isu berkaitan persoalan tersebut.
"Dengan terang dan fasih, SPRM dipelawa tanpa apa-apa halangan untuk memulakan atau meneruskan siasatan bagi menentusahkan dakwaan tersebut. Tidak ada sebarang halangan, SPRM boleh melakukan tugas mereka dengan seluas-luasnya dan KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya,"katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ulang Tahun RELA ke 51 peringkat kebangsaan 2023.
Jelas Datuk Seri Saifuddin, beliau juga sudah mendengar penjelasan daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung insiden yang berlaku di KLIA pada awal pagi 30 Jun lalu.
Bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.
Dalam kejadian tersebut, Datuk Seri Tiong Kin Sing dikatakan terlibat dalam insiden membabitkan seorang wanita warga China yang dihalang pihak Imigresen daripada memasuki negara ini di KLIA.
Bagaimanapun dalam penjelasannya, Datuk Seri Tiong mendakwa tindakan tersebut dilakukan untuk menyelamatkan wanita tersebut serta membongkar aktiviti rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk tersebut.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Datuk Seri Saifuddin berkata banyak aspek penugasan berkaitan kawalan keselamatan yang boleh diteroka oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada masa hadapan.
Antaranya kawalan keselamatan di Sasaran Penting atau di Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL).
Ketika ini, RELA mempunyai lebih 140,000 anggota aktif di seluruh negara.
Katanya, perancangan masa hadapan itu memerlukan kajian kebolehaksanaan yang teliti kerana melibatkan banyak pihak.
Pada masa ini, seramai 500 anggota RELA terlibat dalam penugasan bersama Pasukan Gerakan Am, PGA mengawal keselamatan sempadan negara.
Ia sekaligus membuktikan anggota RELA berkeupayaan untuk melaksanakan tugasan yang mencabar sekiranya diberikan peluang dan latihan.
Beliau berkata, anggota yang bertugas bersama pasukan PGA telah diberikan latihan yang terdiri dari kursus asas hingga kursus kepakaran khusus bagi memastikan setiap petugas anggota RELA dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan professional.
Katanya, mereka turut diberi latihan untuk menguatkan fizikal dan mental serta pengetahuan asas undang-undang dan pengoperasian.
"Kita akan tengok, kita akan meneliti semua aspek keberkesanan langkah ini dan adalah menjadi harapan kita sebab aspek keselamatan ni adalah tanggungjawab bersama kan. Jadi kita percaya ini satu permulaan yang patut kita hargai dulu kepada pasukan RELA, beri mereka peluang untuk establish keupayaan mereka dan daripada situ nanti kita akan membuat susulan yang bersesuaian,"katanya pada majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau dekat Sungai Petani, Kedah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi; Ketua Pesuruhjaya RELA, Datuk Yahya Sulaiman; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
(Datuk Seri Saifuddin pada majlsi Hari Ulang Tahun
RELA ke 51 peringkat kebangsaan 2023)