fb fb fb fb fb

Kerajaan fokus tingkat profesionalisme guru, perkasa imej pendidikan negara

Kerajaan fokus tingkat profesionalisme guru, perkasa imej pendidikan negara / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Kerajaan akan melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran secara berterusan bagi meningkatkan kompetensi serta profesionalisme golongan pendidik yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu turut disokong dengan penambahbaikan mekanisme pengambilan guru secara terbuka daripada pelbagai sumber.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan peluang hanya diberikan kepada calon yang benar-benar layak, berpotensi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap dunia pendidikan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Parlimen, hari ini.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk memperkukuh semula imej Malaysia dalam konteks pendidikan global.

“Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung yang hebat di gelanggang sendiri, tetapi tenggelam di pentas dunia. Justeru, kita perlu sama-sama mengangkat semula imej Malaysia sebagai negara makmur yang kaya dengan keunikan budaya dan berpaut kuat pada akar nilai tempatan dan sejarahnya,” ujar Perdana Menteri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN