fb fb fb fb fb

Sabah, Sarawak hab tenaga mampan negara

Perdana Menteri membentangkan RMK13 di Parlimen. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Kerajaan memberi tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak bagi memposisikan kedua-dua negeri itu sebagai hab tenaga mampan negara berdaya saing di peringkat serantau.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi inisiatif keempat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK)  dalam usaha menyeimbangkan kemajuan ekonomi wilayah dan pengukuhan pembangunan desa.

"Pelaksanaan inisiatif seperti Hab Hidrogen Sarawak dan Jaminan Bekalan Tenaga Sabah secara tidak langsung akan memperkukuh infrastruktur tenaga di kedua-dua negeri.

"Usaha ini turut membuka pelaburan berimpak tinggi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta pembangunan teknologi bersih demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak," katanya ketikan membentangkan RMK13, di Parlimen.

Perdana Menteri juga memaklumkan, bagi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu, pembangunan akan dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara yang bersepadu dan berdaya saing.

Ia sekali gus menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa.

Dalam pada itu, Kerajaan akan meneruskan Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI.

"Kerajaan menyasarkan pelaksanaan 200 Kampung Angkat MADANI dan 1,000 Sekolah Angkat MADANI.

"Pendekatan bersepadu itu digerakkan oleh kementerian dan agensi bersama badan korporat, syarikat swasta dan komuniti setempat," katanya.

 

KHAIRUL AMRI BIN YASIN