KUALA LUMPUR, 10 Januari - Tabung simpanan KWSP adalah satu-satunya harapan bakal pesara yang perlu dijaga dan dipertahankan.
Tegas Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), pengeluaran khas i-Citra hanya akan menambah beban ahli KWSP terutama apabila kos sara hidup dan penjagaan kesihatan semakin meningkat seiring purata usia yang bertambah panjang.
Presidennya, Abdul Halim Husin memuji langkah kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan tunai, pinjaman tanpa faedah dan pelaksanaan moratorium automatik merentasi agensi.
Beliau berharap semua pelaksanaan inisiatif itu dapat dipermudah.
Kerajaan bagaimanapun dimohon mempertimbangkan beberapa cadangan bagi mendepani krisis ekonomi pascapersaraan.
"Satu skim persaraan yang lebih universal di mana mereka yang tidak mencarum KWSP juga dapat dipertimbang untuk dapat persaraan selepas mereka berhenti bekerja. Kita mintak dana rakyat dapat ditubuhkan melalui sukuk yang mungkin boleh kumpul dana lebih kurang 20 ke 30 bilion bagi membantu usahawan dapatkan bantuan pembiayaan", kata Abdul Halim kepada wartawan, di sini.