fb fb fb fb fb

Kerajaan dan PH setuju perhalusi pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 11 April- Memperhalusi berkaitan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti antara tiga perkara yang dipersetujui kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) berhubung pindaan Perkara 10 Perlembangaan Persekutuan menerusi mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dua perkara lain adalah cadangan memansuhkan perkara 48 ( 6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu dan ketiga menggubal satu Rang Undang-undang (RUU) khusus berkaitan larangan ahli dewan bertukar parti.

"Perkara ini akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dilantik oleh Dewan ini, katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya, kesepakatan bersama Kerajaan dan Pembangkang adalah penting bagi mengembalikan kestabilan politik negara dalam keadaan semasa penularan wabak COVID19 dan dalam masa yang sama untuk memulihkan ekonomi negara dan sosial rakyat pasca pandemik COVID-19.

"Komitmen ini menjadi keutamaan Kerajaan mengambil kira senario politik negara kebelakangan ini melibatkan ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau dalam bahasa mudahnya “lompat parti”. Istilah lain yang sering digunakan di negara luar berkaitan perkara ini, misalnya seperti “defection”, “party jumping” atau “floor crossing” yang mana boleh diterjemahkan sebagai pembeleton parti dan bertukar kesetiaan kepada parti.

Keadaan ini telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil di Dewan Rakyat.

RUU bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan itu bertujuan memasukkan fasal baharu 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1); berhubungan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

Wan Junaidi berkata pindaan itu turut memberi punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.


(Wan Junaidi ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022)

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi turut menyatakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), negara berhadapan dengan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dan bilangan ahli Parlimen Malaysia yang melompat parti telah mencecah sehingga 39 orang.

"Ini merupakan suatu isyarat yang jelas menunjukkan bahawa amalan demokrasi negara kita kini adalah tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan," katanya.

Tambah Wan Junaidi, tindakan ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya.

Selain itu sikap dan tindakan bertukar parti oleh ahli Dewan Rakyat secara langsung membuatkan rakyat menilai kesetiaan ahli Dewan Rakyat terhadap parti yang diwakili dan pada masa yang sama memberi kesan terhadap amalan demokrasi di negara ini.

Bagimanapun, usaha menambahbaik sistem pentadbiran negara melalui pelbagai inisiatif transformasi pentadbiran secara kerjasama dwi-partisan Kerajaan dan Pakatan Harapan telah
diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021, antaranya termasuk Perkara 2.1 mengenai keperluan membentangkan dan meluluskan Rang UndangUndang Anti Lompat Parti di Parlimen.

Bagi menjayakan komitmen yang telah ditetapkan, Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengadakan 12 sesi libat urus yang komprehensif dan menyeluruh bersama pihak-pihak berkepentingan seawal 23 November 2021 hingga 7 April 2022 dengan kerjasama BHEUU JPM dan Jabatan Peguam Negara.

Media Baharu