fb fb fb fb fb

Kerajaan biayai penuh pengajian keusahawanan untuk lepasan TVET di MSU

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM, 30 Julai - Lepasan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang keusahawanan bakal menerima pembiayaan penuh daripada kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada graduan TVET yang berminat menjadi usahawan untuk menyambung pengajian dalam bidang keusahawanan di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Katanya, pelaksanaan inisiatif terbaharu itu akan diselaras oleh Majlis TVET Negara manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertindak menyediakan pembiayaan kepada pelajar terbabit.

"Saya yakin tidak semua graduan TVET akan memasuki pasaran pekerjaan. Sebaliknya, ada dalam kalangan mereka mahu menjadi usahawan, khususnya techno usahawan.

"Saya telah berbincang dengan Presiden dan Pengasas MSU, Tan Sri Profesor Dr Mohd Shukri Ab Yajid agar satu modul khas keusahawanan dibangunkan, membolehkan graduan TVET menerima Diploma Eksekutif melalui pemindahan kredit dan beberapa mata pelajaran tambahan yang akan ditentukan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang Pengerusi Majlis TVET Negara melancarkan TVET MSU di universiti itu yang turut dihadiri Presiden merangkap Pengasasnya, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid hari ini.

Ahmad Zahid juga meminta MSU meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan kepada 100 peratus pada 2028 berbanding lebih 95 peratus yang direkodkan ketika ini.

"Kini terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara. Saya ingin mengiktiraf MSU sebagai institusi TVET ke-1,399 di negara ini.

"Tentunya saya merestui hasrat MSU untuk menawarkan 100 kursus pada tahun 2028. Namun, saya ingin mencabar MSU agar mengadakan 200 kursus TVET yang berbeza menjelang 2030," katanya.

Tambah beliau, minat pelajar terhadap bidang TVET semakin meningkat dengan 229,000 permohonan direkodkan setakat 12 Julai, berbanding 25,000 tahun lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN