fb fb fb fb fb

Inisiatif peningkatan kemahiran, laluan singkat atasi kekurangan jurutera

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM, 30 Julai - Inisiatif peningkatan kemahiran akan dilaksanakan bagi mewujudkan laluan singkat kepada tenaga kerja mahir untuk memasuki bidang kejuruteraan dengan kadar segera, sekali gus menangani kekurangan jurutera dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis, inisiatif tersebut dapat melahirkan lebih ramai jurutera dalam pelbagai bidang bagi mengatasi jurang yang timbul.

"Maknanya mereka yang berkemahiran dan untuk mereka yang lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 yang sama taraf dengan diploma itu, akan dipertingkatkan kemahiran serta mendaftar di enam universiti bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Ini laluan singkat untuk mereka menjadi jurutera dalam pelbagai bidang dengan tambahan setahun ataupun dua tahun," katanya.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk penyelarasan bagi membolehkan pengiktirafan tunggal dilakukan.

Beliau menyatakannya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Management and Science University (MSU) di sini.

Pada masa ini, Malaysia hanya mampu melahirkan 6,000 jurutera setahun, jauh lebih rendah berbanding 60,000 jurutera yang diperlukan.

MASNIZA AWANG KECHIK