fb fb fb fb fb

Kerajaan buka penyertaan GLC dan swasta dalam pasaran eksport, import tenaga

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai- Kerajaan membuka peluang kepada semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk menyertai pasaran eksport dan import tenaga elektrik, selaras dengan usaha liberalisasi sektor tenaga negara.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan pelesenan bagi aktiviti eksport dan import tenaga akan dilaksanakan secara telus dan mengikut prinsip pasaran terbuka, dengan kawal selia rapi oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Katanya, bagi memastikan urus niaga berjalan secara adil dan berdaya saing, mekanisme bidaan akan dilaksanakan bagi memilih pihak yang menawarkan kadar tarif paling kompetitif.

“Bila disebut dari segi bidaan itu, sebagai contoh, mereka yang ingin mengimport maksudnya dari negara lain, kalau nak import daripada kita, sudah pasti mereka perlu memberi tawaran yang paling baik kepada kita,” jelasnya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan memastikan setiap lesen eksport atau import hanya diberikan kepada pihak yang memenuhi semua syarat, termasuk keupayaan teknikal dan jaminan tidak menjejaskan bekalan dalam negara.

Akmal turut menegaskan bahawa sebahagian hasil daripada urus niaga eksport tenaga ini akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), yang antara lain digunakan bagi menampung kos pentadbiran serta mengurangkan impak tarif kepada rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM