fb fb fb fb fb

Nilai pelaburan meningkat RM89.8 bilion cerminan dasar negara mesra pelabur

Malaysia merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Peningkatan nilai pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2025 kepada RM89.8 bilion mencerminkan dasar mesra pelabur serta kestabilan politik di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, momentum positif itu turut memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

"Pembukaan kilang dan pelaburan di kawasan tertentu membawa kepada pembangunan infrastruktur asas seperti sekolah, perumahan dan perkhidmatan kesihatan yang amat diperlukan.

"Ia juga membantu penduduk menjana pendapatan apabila terlibat secara langsung atau bekerja di kilang tersebut, sekaligus memberi kesan limpahan seperti pertumbuhan perniagaan kecil dan peningkatan nilai hartanah," katanya ketika dihubungi RTM bagi mengulas peningkatan nilai pelaburan negara pada Rabu.

Tambah beliau, peningkatan pelaburan ini turut didorong oleh kecekapan kerajaan dalam mengurus pelaburan serta pelaksanaan insentif fizikal yang memberi tumpuan kepada sektor strategik.

Antara sektor yang dikenal pasti termasuk teknologi tinggi, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui, yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh kestabilan ekonomi negara.

Malaysia merekodkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Jumlah itu sekali gus menunjukkan penigkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding RM86.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan RM11.3 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan telah diluluskan.

Ia melibatkan 11 pengilang yang telah memulakan operasi di seluruh negara, manakala beberapa lagi kilang sedang dalam pembinaan.

Untuk mengetahui berhubung prestasi pelaburan negara, orang ramai boleh melayari pautan rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA):https://www.mida.gov.my/ms/kenapa-malaysia/statistik-pelaburan/.

GRACE AISYAH KEDAYAN