fb fb fb fb fb

Lembaga Pengasas MMM perlu segera libat semua organisasi media, jelas isu akreditasi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Julai- Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) perlu segera berhubung dengan semua organisasi media bagi memastikan proses akreditasi serta semangat kebebasan media difahami secara tepat dan jelas.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengulas kebimbangan yang disuarakan oleh beberapa wakil media mengenai soal ketelusan dalam penubuhan serta pengoperasian MMM.

Justeru, satu pertemuan menyeluruh melibatkan semua organisasi media dicadangkan bagi memastikan ketelusan dan pemahaman bersama mengenai hala tuju majlis itu.

"Ada wakil media yang menyuarakan kebimbangan kerana tidak mahu wujudnya kumpulan atau blok tertentu.

Oleh itu, saya meminta pihak Majlis Media Malaysia segera berhubung dengan semua organisasi media supaya mereka mendapat maklumat yang tepat menjelang Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada November ini," kata Datuk Fahmi, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini.

Tambahnya, kerajaan baru-baru ini telah menandatangani pewartaan rasmi bagi penubuhan Lembaga Pengasas MMM sebagai satu pendekatan dalam memperkukuh landskap media negara.

Lembaga itu dianggotai 12 individu yang terdiri daripada empat wakil masing-masing dari syarikat media, persatuan media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.

Penubuhan MMM merupakan antara inisiatif reformasi industri media yang sedang digerakkan oleh kerajaan bagi memastikan kebebasan, akauntabiliti dan profesionalisme dalam sektor media kekal terpelihara dan diperkukuh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM