fb fb fb fb fb

Eksport, import tenaga elektrik tidak jejas bekalan domestik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai - Kerajaan memberi jaminan bahawa aktiviti eksport dan import tenaga elektrik ke luar negara tidak akan menjejaskan bekalan domestik, sebaliknya dilaksanakan secara terkawal dan berpandukan polisi tenaga nasional yang ketat.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, prinsip asas yang diterapkan dalam pelaksanaan perdagangan tenaga ialah memastikan keperluan domestik rakyat dipenuhi terlebih dahulu, sebelum sebarang lebihan tenaga dibenarkan untuk dieksport.

Langkah kawalan yang telah dirangka termasuk penetapan dasar keutamaan bekalan domestik, penyediaan kapasiti penjanaan dan simpanan yang mencukupi serta perancangan tenaga jangka panjang secara menyeluruh.

"Untuk memastikan aktiviti eksport dan import tidak menjejaskan pembekalan elektrik domestik, pertama keutamaan itu adalah pembekalan domestik. Kita menetapkan polisi yang mewajibkan keperluan tenaga dalam negara dipenuhi sebelum tenaga itu dieksport," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, kerajaan turut memperkukuh aspek pemantauan teknikal secara masa nyata terhadap sistem grid nasional serta mewujudkan perjanjian operasi bersama peneraju industri bagi menjamin kestabilan bekalan secara menyeluruh.

Langkah tersebut penting untuk menepis kebimbangan orang awam berhubung kemungkinan risiko gangguan bekalan susulan pembukaan pasaran tenaga ke peringkat antarabangsa.

MASNIZA AWANG KECHIK