PUTRAJAYA, 30 Julai - Sebanyak 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India di negara ini sehingga Julai 2025 melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, program-program tersebut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat, iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.
"Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh," menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, beberapa permohonan lain tidak dapat diluluskan, termasuk program yang bertindih dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berada bawah seliaan Majlis TVET Negara.
Selain itu, beberapa cadangan turut ditolak kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada bawah beberapa kementerian, antaranya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sehubungan itu, penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelakkan pertindihan peranan dan pembaziran sumber.
Kerajaan MADANI akan terus memperhalus dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat, bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan kekal teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.