KUALA LUMPUR, 25 Mac - Kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memikul amanah, termasuk dalam menangani ancaman militan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jenayah indeks menurun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Jenayah indeks bagi tahun lalu juga menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun 2020.
Perdana Menteri juga menghargai peranan PDRM sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di PULAPOL, Kuala Lumpur)
Tambahnya, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaan dalam menghadapi dan membanteras kejadian jenayah
"Kerajaan sedar bahawa tugas kepolisan dalam menangani kes jenayah semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan kewujudan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalah gunakan untuk perbuatan jenayah.
"Semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara", katanya ketika berucap pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Perdana Menteri juga menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi mengurangkan jenayah dan membanteras tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman awam.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Sri Ismail Mohamed Said, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.