fb fb fb fb fb

Kerajaan belum putuskan untuk naikkan harga gula - Armizan

Foto FB Menteri

PITAS, 12 November- Kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan harga gula di pasaran tempatan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata ia susulan dapatan kajian mengenai unjuran harga gula di peringkat global masih menunjukkan peningkatan harga sehingga kini.

"Belum ada tanda-tanda lagi, dalam tempoh setahun ini ia menurun. Maka, kita perlu lakukan sesuatu kerana kita tidak mahu berlaku gangguan bekalan gula yang telah pun bermula.

Antara pendekatan kita bawa sejak awal tahun adalah untuk kita membuka Permit Import (AP) Untuk pengetahuan semua, Permit Import (AP) telah kita buka kepada 43 syarikat sejak awal tahun ini," kata Armizan kepada pemberita.

Permit Import (AP) tersebut melibatkan 557,000 tan metrik gula, bagaimanapun sehingga kini hanya 22,537 tan metrik atau 4.05% sahaja bekalan gula antara RM3,300 hingga RM3,400 bagi satu tan metrik yang dibawa masuk ke dalam negara.

Situasi itu terjadi susulan harga gula di peringkat global masih tinggi.

Katanya, kerajaan juga tidak akan memberi subsidi pukal kepada barangan keperluan harian tersebut.

"Dapatan kajian mendapati bahawa satu isi rumah hanya menggunakan gula maksimum sebanyak 2.6kg. Jika kita beri subsidi secara pukal, ia turut membabitkan industri-industri besar yang banyak menggunakan gula selain kesannya kepada syarikat makanan dan minuman (F&B), penjaja kecil dan sebagainya.

Jadi, kerajaan tengah mempertimbangkan termasuk aspek harga gula dan juga jaminan bekalan gula di negara," kata Armizan kepada pemberita di Pitas.

Kenyataan Armizan itu bagi mengulas isu kekurangan bekalan gula di pasaran yang berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM