KUALA LUMPUR, 14 November- Kerajaan belum bercadang untuk mengawal selia tambang e-hailing buat masa ini kerana penentuan harga lantai tambang bagi sektor tersebut adalah kompleks.
Selain itu, ia juga perlu perlu diimbangi antara pemandu dan pengguna, serta fleksibiliti harga tambang yang ditentukan mengikut padanan faktor semasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, harga tambang kepada pengguna boleh meningkat sekiranya harga lantai ditetapkan kerajaan.
Ia mengambil kira faktor pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan dan jumlah penawaran yang menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.
Bagaimanapun, perbincangan telah diadakan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan pemain utama industri e-hailing bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.
"Maklum balas diterima adalah syarikat memberi galakan kepada rakan pemandu untuk beroperasi di kawasan tumpuan melalui insentif yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing bagi memenuhi permintaan semasa.
"Sebagai contoh salah satu syarikat penyedia perkhidmatan ehailing membuat penawaran insentif secara seminggu lebih awal kepada pemandu melalui notifikasi aplikasi pemandu.
"Tawaran insentif yang diumumkan boleh membantu rakan pemandu merancang waktu operasi yang sesuai dan jumlah pendapatan yang disasarkan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.