CALIFORNIA, 14 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di San Francisco, di sini untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 bermula 14 November hingga 17 November.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco kira-kira pukul 9.37 malam waktu tempatan, bersamaan 1.37 tengah hari waktu Malaysia.
Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Menyambut ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.
Manakala bagi pihak tuan rumah, Penolong Ketua Protokol Hal Ehwal Diplomatik Jabatan Negara Amerika Syarikat, Nan Kennelly.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia mengikut Rangka Kerja Ekonomi Madani, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama, pada mesyuarat itu.