fb fb fb fb fb

JBPM bakal bina empat pangkalan udara babitkan kos RM200 juta

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 14 November - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam perancangan untuk membina pangkalan udara di Wilayah Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM200 juta dengan setiap satunya bernilai RM50 juta.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Abdul Wahab Mat Yasin berkata keempat-empat pangkalan udara tersebut kini dalam proses perolehan tanah.

"Memang jabatan memberi keutamaanlah untuk menyediakan satu pengkalan udara untuk zon selatan sebab zon selatan ini bukan setakat banjir, industri besar seperti di Pengerang sendiri mengusahakan industri minyak dan gas yang berisiko tinggi.

"Unit ini juga boleh membantu kita memberi perkhidmatan penghantaran bekalan makanan, logistik peralatan musim banjir ke kawasan terlibat di kawasan-kawasan pendalaman khususnya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2022, di Pasir Gudang, di sini.

Tambah Abdul Wahid, Pangkalan Udara Wilayah Tengah di Subang masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2025.

Manakala Pangkalan Udara Wilayah Utara di Bertam, Pulau Pinang bakal dirasmikan November ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN