fb fb fb fb fb

Keracunan makanan : Pengusaha kantin SK Chepor akan didakwa

A Sivanesan bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SK Chepor / FOTO RTM

IPOH, 1 Oktober- Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di Ipoh akan didakwa berkaitan isu kebersihan susulan kes keracunan makanan membabitkan 134 murid di sekolah berkenaan pada minggu lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, A Sivanesan berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
 
Jelasnya, tindakan penamatan tender pengusaha kantin juga telah dibuat serta merta selepas notis penutupan selama 14 hari dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta pada 26 September lalu.

"Ini adalah kes yang serius. Jadi saya juga telah memutuskan bahawa kita harus mendakwa dia (pengusaha kantin) sebab kita ada cukup kes untuk buktikan di mahkamah.

"Kita ada pendakwa raya di jabatan kita yang sungguh berkaliber. Saya tahu mereka akan teruskan di mahkamah. Kalau kita ajar seorang pengusaha kantin maka ini akan jadi satu pengajaran kepada semua," katanya.

Pihaknya mendapati pengusaha terbabit telah menerima dua kali notis teguran daripada pihak sekolah berhubung isu kebersihan pada tahun lalu.

Sivanesan ditemui media selepas mengadakan lawatan di SK Chepor bersama pegawai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Tambahnya makanan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan itu adalah minuman bancuhan berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin tersebut.

Dua pelajar yang dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum ini telah dibenarkan pulang pada 27 September lalu dan 93 murid lagi telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta.

Manakala baki murid yang lain hanya mengalami gelaja ringan dan berehat di rumah masing-masing.

Beliau juga dimaklumkan oleh pihak sekolah bahwa kesemua murid tersebut telah memulakan sesi persekolahan seperti biasa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE