PEKAN, 1 Oktober- Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menjaring ikan bersama dua rakannya di Sungai Lepar berdekatan Ladang LKPP Jalan Gemuruh, Pekan ditemui pada pukul 10.20 pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Saifol Azmi Adiauddin berusia 33 tahun ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) kira-kira 25 meter dari tempat dilaporkan lemas.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, operasi mencari dan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan enam anggota PPDA, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu bersama jentera dan dua buah bot.
Selain itu, lima anggota bersama seorang pegawai polis dan enam anggota bersama seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut digerakkan dalam operasi tersebut.
Operasi SAR melibatkan dua kilometer radius dari tempat mangsa dilaporkan lemas.
Mangsa dijumpai oleh anggota PPDA semasa membuat selaman pada kedalaman kira-kira 2.5 hingga 3 meter.
Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.