fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi jadi hab inovasi teknologi Asia Tenggara

Datuk Seri Fadillah berucap merasmikan merasmikan Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2024 di Menara Felda / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Malaysia berpotensi menjadi hab inovasi teknologi di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ke arah mencapai matlamat itu jurutera tempatan perlu memainkan peranan memupuk budaya kreativiti dan keusahawanan.

Beliau turut menekankan kepentingan profesion itu untuk menghasilkan inovasi dalam pelbagai sektor yang mampu bersaing di peringkat global.

"Sebab itu yang kita perlukan sekarang adalah jurutera bukan sahaja yang membuat reka bentuk, tapi untuk mencari solusi kepada bukan sahaja negara kita tetapi permasalahan dunia.

"Daripada permasalahan itu, kita buat kajian dan pembangunan kita dapat membuat penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh dunia dalam pelbagai sektor," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2024 di Menara Felda.

Konvensyen selama empat hari itu menghimpunkan lebih 300 jurutera bertujuan membincangkan usaha memperkasakan status profesion tersebut dalam negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE