fb fb fb fb fb

Keputusan SIS Forum Malaysia, orang ramai dinasihat bertenang

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bercakap pada media di Perasmian Penutup Siri Wacana Bergerak Madani Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil di Politeknik Ungku Omar hari ini. Foto BERNAMA

IPOH, 19 Jun - Orang ramai dinasihatkan untuk bertenang susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia), hari ini.

Mahkamah memutuskan bahawa fatwa mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap entiti korporat tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah, namun akan menelitinya secara menyeluruh bersama maklum balas pelbagai pihak.

Jelas beliau, perkara ini penting agar tiada pihak mengambil kesempatan atau bertindak di luar batasan susulan keputusan tersebut.

"Kita mengambil kira semua aspek, insya-Allah fatwa, institusi fatwa dan sebagainya kita akan pertahankan dan sebaiknya kita akan perkukuhkan," tegas beliau.

Dr. Zulkifli berkata demikian pada sidang media Perasmian Penutup Program Wacana Bergerak MADANI: Mengangkat Pemikiran Siddiq Fadzil Peringkat Negeri  Perak di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Program ini mengetengahkan pemikiran tokoh intelektual Islam terkenal tanah air, Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil, dalam membangunkan masyarakat MADANI yang progresif dan berintegriti.

Lebih 300 peserta hadir terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi, pendidik, penjawat awam dan aktivis masyarakat.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI