fb fb fb fb fb

Keputusan Rafizi, Nik Nazmi letak jawatan perlu dihormati

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR 29 Mei- Keputusan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan daripada kabinet adalah satu tindakan berprinsip dan perlu dihormati.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Rafizi dan Nik Nazmi telah memberi sumbangan berkesan serta mendukung semua keputusan kerajaan.

"Mereka berprinsip. Itulah janji mereka (untuk letak jawatan sekiranya tewas dalam pemilihan PKR) dan kita menghormati pendirian itu.

"Biarpun kita tidak campur dalam urusan dalaman parti namun bagi pihak rakan-rakan dalam Kabinet, saya merasakan bahawa selama ini mereka telah menyumbang dengan cukup berkesan dan mereka secara kolektif mendukung semua keputusan yang telah ditetapkan oleh Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia dan Majlis Prapelancaran Mega Karnival 3 Dimensi di Angkasapuri Kota Media malam tadi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI